Tuesday 18 August 2009

Baqi b. Makhlad - Dari Andalus ke Baghdad (Siri 1)

Kisah perjalanan ilmu (rihlah 'ilmiyyah) al-Imam Baqi b. Makhlad al-Andalusi


Sebuah kisah rihlah ilmiyyah yang cukup ajaib, menarik dan menyentuh perasaan. Kisah seorang ulama’ dari sebelah Barat (Andalus – kini dalam negara Sepanyol di benua Eropah), seorang musafir ilmu menjelajah ke sebelah Timur, ke Baghdad kini dalam negara Iraq di Benua Asia (Asia Tengah/Timur Tengah). Penjelajahan ini bukan kerana niat untuk melancong atau makan angin. Tetapi dengan tekad yang bulat untuk menuntut ilmu hadith, mendengar sendiri hadith-hadith dibacakan dan diriwayatkan oleh seorang pakar dalam ilmu hadith iaitu Imam Ahmad bin Hanbal.


Kisah ini direkodkan dalam karya ‘al-Manhaj al-Ahmad fi Tarajum Ashab al-Imam Ahmad’ karangan al-‘Ulaymi (jilid 1, ms 177) dan dalam kitab ‘Ikhtisar al-Nabulisi li Tabaqat al-Hanabilah’ tulisan Ibn Abi Ya’la (ms 79) semasa menceritakan biografi al-Imam Baqi bin Makhlad al-Andalusi iaitu Abu ‘Abd al-Rahman Baqi bin Makhlad al-Andalusi al-Hafiz yang dilahirkan pada tahun 201 H dan meninggal dunia 276 H di Andalus.


Cabaran bermula dengan jarak perjalanan yang cukup jauh dan mencemaskan. Ditambah pula dengan kemudahan perjalanan dan kenderaan yang amat terhad. Namun, niat perlu diteruskan. Justeru, matlamat utama adalah untuk bersua dengan al-Imam Ahmad dan mendengar sendiri secara langsung mutiara-mutiara hadith Rasulullah saw daripada mulut beliau, maka perjalanan harus dimulakan. Safar ini adalah berbekalkan tulang empat kerat yang dikurnia Tuhan. Tiada kemudahan keretapi, kapal laut, kapat terbang dan seumpamanya.


Dari Andalus ke Baghdad mengambil masa sebulan perjalanan. Tiba di Baghdad, cabaran kedua dihadapi. Dikhabarkan kepada beliau pada saat itu al-Imam Ahmad bin Hanbal dikenakan tahanan dalam rumah oleh pemerintah semasa yang zalim. Diasingkan daripada bermuamalah dengan murid-murid yang dahagakan ilmu dan masyarakat yang perlukan tarbiyah. Tidak dibenarkan mengajar serta menyampaikan kuliah di masjid dan majlis-majlis ilmu. Begitulah sifat dan kelakuan penguasa yang zalim. Di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Sejarah akan sentiasa berulang. Buat manusia mengambil iktibar dan pengajaran.


Baqi bin Makhlad sedih. Niat suci mungkin tidak dapat dicapai dengan keadaan semasa yang berlaku. Namun peluang perlu dicari terlebih dahulu. Apa jua kaedah untuk mencapai objektif perlu diusahakan. Pencarian bermula di masjid al-Jami’ al-Kabir di Baghdad. Mencari-cari halaqah ilmu, pertolongan langit tiba.

No comments:

Post a Comment