Wednesday 19 August 2009

Baqi b. Makhlad: Dari Andalus ke Baghdad (Siri 2)

Di suatu penjuru dalam masjid, seorang alim sedang bercerita tentang biografi rijal (perawi-perawi hadith). Suatu ketika beliau mengatakan si fulan bin si fulan ini seorang perawi yang kuat. Di ketika yang lain beliau menyatakan si fulan bin si fulan seorang perawi yang lemah. Timbul pertanyaan dalam diri Baqi bin Makhlad. Siapakah gerangan si alim ini? Selepas bertanya khabar daripada salah seorang hadirin yang sedang khusyu’ mendengar perbahasan tersebut, jelaslah kepada beliau bahawa si alim ini bukan calang-calang manusia. Beliau merupakan al-Imam Yahya bin Ma’in, seorang pakar dalam bidang ‘ilmu al-Rijal (ilmu penilaian biografi dan taraf perawi-perawi hadith). Syukur kepada Tuhan dipertemukan dengan al-Imam Yahya bin Ma’in.


Lalu peluang terus diambil dan masa bertanya digunakan sepenuhnya. Beberapa soalan dikemukakan berkaitan perawi-perawi yang beliau sendiri meriwayatkan hadith daripada mereka termasuk Hisham bin ‘Ammar. Maka, dengan penuh tanggungjawab, kejujuran dan keyakinan al-Imam Yahya bin Ma’in menuturkan hasil penilaian beliau bahawa Hisham bin ‘Ammar adalah Abu al-Walid, berasal dari Damsyik, seorang yang tekun beribadah khususnya solat dan merupakan seorang yang amat jujur dan dipercayai (thiqah / fawq al-Thiqah). Peluang terakhir digunakan untuk bertanyakan tentang al-Imam Ahmad bin Hanbal. Lantas al-Imam Yahya bin Ma’in menyatakan bahawa al-Imam Ahmad tidak perlu diperkenalkan. Jauh daripada sebarang kekurangan. Beliau adalah Imam al-Muslimin, yang terbaik dan termulia di kalangan ulama’ sezaman.


Syukur alhamdulillah pintu kepada pertemuan dengan al-Imam Ahmad sudah terbuka. Lantas Baqi bin Makhlad bertanyakan di mana rumah tempat tinggal al-Imam Ahmad. Setelah ditunjuk arah, Baqi bin Makhlad tiba ke tempat yang diidam-idamkan. Bertemu dengan al-Imam Ahmad menjadi matlamat utama perjalanan ini. Walaupun belum pernah bersua muka, namun populariti al-Imam Ahmad sudah cukup bagi Baqi bin Makhlad untuk mengenali dari jauh susuk tubuh ulama’ agung ini.


Sesampai di depan pintu rumah al-Imam Ahmad, Baqi mengetuk memberi salam.


No comments:

Post a Comment